Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan terhadap 3,047 akaun palsu pada pelbagai platform media sosial yang dikenal pasti antara Januari dan September tahun ini.

Hampir 80% daripada 3,047 akaun palsu itu telah dipadamkan oleh platform media sosial seperti Facebook dan Twitter kerana melanggar terma dan syarat yang ditetapkan oleh pembekal masing-masing.

Malah, gergasi Internet seperti Facebook, Twitter, dan Baidu Inc. Google China bekerjasama dengan Kerajaan kerana mereka sentiasa diberi tekanan untuk memperbaiki algoritma mereka dengan menggunakan gabungan teknologi dan perakuan kandungan untuk meminimumkan berita palsu.

Semua rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk membantu mempertahankan Malaysia daripada berita/akaun palsu yang mempunyai niat tidak baik, bersifat memfitnah atau menghasut. Sikap menghormati kepelbagaian dan keharmonian kita mesti diperkukuhkan sebagai cara hidup Malaysia.

Sudah tiba masanya kita menggunakan sepenuhnya inisiatif seperti portal sebenarnya.my dan menjadikannya satu kebiasaan untuk memeriksa kesahihan suatu berita terlebih dahulu sebelum berkongsi dengan orang lain.

Marilah kita mengingatkan diri kita sendiri bahawa jika kita menemui akaun palsu atau berita palsu atau maklumat palsu, kita harus menggunakan kemudahan ‘laporkan’ yang disediakan oleh media sosial yang berkenaan, supaya tindakan dapat diambil secepat mungkin. Kita juga boleh melaporkan kepada MCMC untuk perkara-perkara sedemikian.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA 98) menjadikannya suatu kesalahan “untuk membuat atau mencipta kandungan yang bersifat lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam, atau menyinggung perasaan.”