Seorang pembantu kedai kasut dihukum penjara sehari dan didenda RM3,500 oleh Mahkamah Sesyen, selepas mengaku bersalah menghantar komunikasi jelik berkaitan Perdana Menteri.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman ke atas orang kena saman (OKS), Muhammad Zaidi Abdullah, 40, yang mengedit gambar Perdana Menteri bersama wanita berpakaian menjolok mata di laman sosial Facebook miliknya, tahun lalu.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, Muhammad Zaidi didenda masing-masing RM1,000 dan sekiranya gagal bayar boleh dipenjara sebulan.

Dia turut didenda RM1,500 dan berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal bayar serta dihukum penjara sehari, untuk tuduhan ketiga.

Mengikut tuduhan pertama hingga ketiga, OKS dituduh menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui profil Facebook ‘Zaidi Zura’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Semua perbuatan itu masing-masing dilakukan pada jam 4.07 pagi, 3 Disember 2016; jam 6.31 petang, 5 Disember dan jam 7.35 petang, 6 Disember 2016.

Ketiga-tiga pautan itu dibaca pada jam 5 petang, di No A-1110, Tingkat 11, Menara A, Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah di sini pada 3 Januari lalu.

OKS didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohd Sophian Zakaria manakala OKS diwakili peguam Adlizan Noor.