Peruntukan RM88.7 juta bagi bantuan Dana Raya 2017 yang membabitkan seramai 239,323 penerima di negeri ini sudah mula diagihkan melalui kaedah baucer kepada mereka yang layak sejak 27 Mei lalu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding RM81.3 juta yang diperuntukkan kepada kira-kira 219,754 anak negeri pada tahun lalu.

Beliau memberitahu, sebanyak RM61.1 juta akan disalurkan kepada 154,730 golongan miskin manakala RM9.9 juta untuk 33,305 warga emas; RM4.2 juta (14,005 orang kelainan upaya) dan RM13.3 juta pula melibatkan 37,283 duda/ibu tunggal.

“Kita harap dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat dan menambahkan kegembiraan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian & Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof.

Ahmad Razif berkata, setiap penerima boleh menukarkan baucer masing-masing dalam tempoh tiga bulan di dua buah bank iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agro Bank.