calon pan sg besar kit siangUsaha Azhar bertemu rakyat di Pasar Sari Selasa di Sekinchan yang turut disertai Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP kawasan itu, Ng Suee Lim juga sedikit hambar.

Apa yang pasti, masyarakat Cina termasuk peniaga di pasar sari itu dilihat lebih teruja berjumpa dan bersalaman dengan Kit Siang dan Suee Lim berbanding Azhar.

Kelihatan sedikit kekok, Azhar yang turun berkempen bersama isterinya, Nor’adzimah Hassanuddin, hanya sekadar tersenyum dan kebanyakan masyarakat Tiong Hua yang ditemui lebih memberikan fokus perbualan kepada pemimpin DAP berkenaan.

DUN Sekinchan dalam Parlimen Sungai Besar mempunyai 16,055 pengundi berdaftar yang mana 9,139 daripadanya adalah kaum Cina, Melayu (6,524 pengundi) manakala bangsa India 363 pengundi.

Berbaki 10 hari lagi tempoh berkempen, kehadiran Azhar ke Pasar Awam Sungai Besar, di sini pula juga disambut hambar yang mana rata-rata rakyat setempat sekadar membalas senyumannya, malah ada juga yang enggan menerima risalah dan sapaannya.

Walaupun jentera AMANAH berusaha gigih memperkenalkan calon menggunakan pembesar suara, namun kebanyakan pengunjung pasar awam itu dilihat lebih kepada meninjau dan melihat pergerakan Azhar dan pengikutnya berbanding cuba mendekatinya.

Azhar merupakan calon pertama yang diketengahkan Pakatan HARAPAN menerusi AMANAH bagi pertandingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi dan calon PAS, Dr Abdul Rani Osman.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian awal pada 14 Jun manakala hari pengundian, 18 Jun ini.

PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

– Bernama