SHAH ALAM – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) Selangor dan wakil 10 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyembahkan satu deklarasi rakyat bagi menzahirkan kesetiaan dan daulat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz berkata deklarasi itu adalah susulan daripada Perhimpunan Rakyat ‘Daulat Tuanku’ di Dataran Mayang, Seksyen 16 di sini, Ahad lepas, sebagai manifestasi suara rakyat Selangor dalam menjunjung daulat baginda.

Antara intipati deklarasi berkenaan adalah menzahirkan rasa sokongan padu dan taat setia yang tidak berbelah bahagi dan menjunjung Sultan Selangor sebagai Raja dan ketua agama di negeri ini, katanya.

“Kami datang menyembahkan hasil deklarasi himpunan rakyat yang disertai lebih 5,000 rakyat dari pelbagai kaum dan agama di Selangor Ahad lepas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan deklarasi itu kepada Pegawai Pengiring Sultan Selangor, Komander Ahmad Ramli Kardi di pintu masuk Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Johan berkata deklarasi itu antara lain menuntut tindakan tegas diambil terhadap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengguris hati baginda.

Sultan Sharafuddin baru-baru ini menzahirkan rasa kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir yang didakwa menghina etnik Bugis.

Manakala Zaid menerusi Twitter pula mempertikai kritikan Sultan Selangor terhadap Dr Mahathir berhubung kenyataannya tentang masyarakat itu.

Johan berkata kerajaan negeri pimpinan PKR dilihat tidak berbuat apa-apa dalam mempertahankan baginda susulan kenyataan Dr Mahathir dan Zaid. – BERNAMA