Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyifatkan langkah kerajaan PKR Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku selepas dua tahun pembinaannya diluluskan sebagai tidak masuk akal.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, kenyataan bercanggah antara Mohamed Azmin dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berhubung alasan pembatalan projek juga menimbulkan pelbagai persoalan.

“Mula-mula Exco (Iskandar) cakap projek Rumah Selangorku ada masalah kebenaran merancang. Beberapa hari selepas itu, Mohamed Azmin pula menyalahkan pemaju perumahan sebagai punca projek ini dibatalkan.

“Kenapa selepas dua tahun baru batal? Apa pun sudah lumrah sikap pemimpin pakatan pembangkang, mereka tidak akan mengaku kesilapan sendiri, sebaliknya mencari salah pihak lain untuk menutup kesilapan mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Tahun Baharu Cina dan Cermin Mata Percuma di Pasir Penambang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak dan Ketua MCA Bahagian Tanjong Karang, Datuk Phua Boon Chun.

Minggu lalu, kerajaan PKR Selangor membuat keputusan mengejut apabila membatalkan sembilan projek Rumah Selangorku dengan Iskandar memberikan alasan kegagalan pemaju mendapatkan kebenaran merancang sebagai punca tindakan tersebut terpaksa dibuat.

Walau bagaimanapun, pelbagai pihak mempertikai tindakan tersebut sebagai menganiaya rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah, selain menyifatkan alasan diberikan hanyalah cubaan untuk menuding jari kepada pihak lain demi menutup silap sendiri.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata, rakyat di negeri ini berasa tertipu apabila pembinaan projek Rumah Selangorku dibatalkan.

“Beribu-ribu pembeli terpaksa berputih mata dan saya difahamkan beribu-ribu pembeli sudah membuat pinjaman bank,” jelasnya.

Beliau menambah, lebih memburukkan keadaan, kerajaan PKR Selangor melaksanakan dasar yang mengenakan kadar premium tanah yang tinggi walaupun untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.