BAGAIMANA mungkin sebuah negara dan ekonomi yang dituduh gagal dan bankrap mampu membina dan merealisasikan projek mega seperti Transit Aliran Massa atau dikenali sebagai MRT? Dan terbaharu, projek ikonik Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang disempurnakan pelancarannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Stesen Utama KotaSAS di Kuantan, Pahang kelmarin.

MRT adalah sebuah projek amat besar dengan teknologi amat moden dan maju. Tidak mungkin termampu dibina oleh negara yang kononnya akan bankrap tidak lama lagi.

Projek ini meskipun menelan belanja berbilion ringgit tetapi adalah projek tepat yang akan mengubah landskap Kuala Lumpur dan Malaysia.

Rabu lalu, kehadiran Perdana Menteri di Kuantan dengan sendirinya menggambarkan kepenti­ngan Projek ECRL terhadap pembangunan negara membabitkan laluan rel kereta api sepanjang 600.3 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Hadir menyertainya, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn. Bhd., Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Pe­ngarah Eksekutif KotaSAS Sdn. Bhd., Tengku Amir Nasser Tengku Ibrahim.

Projek mega bernilai kira-kira RM55 bilion yang dijangka siap pada 2024 itu adalah pengangkutan awam penumpang dan kargo yang berupaya memendekkan perjalanan dari Tumpat, Kelantan ke Gombak, Selangor kepada hanya lima jam. Ini sekali gus dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi sehingga 1.5 peratus bagi negeri di Pantai Timur, sete­rusnya menawarkan banyak pe­luang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Dua projek besar ini adalah jawapan kepada tohmahan-toh­mahan yang menghina negara. Selama ini pemimpin DAP, Lim Kit Siang sering mendakwa Malaysia sedang menuju ke arah negara yang gagal.

Dia dan DAP sudah bercakap nada sama sejak tahun 60-an lagi. Malah pada 1978, Kit Siang turut menulis sebuah buku berjudul “Bom Jangka di Malaysia” dengan dia memberi amaran kononnya Malaysia akan bankrap dan menjadi negara gagal tidak lama lagi. Tahun depan adalah 2018 dan menjadi tahun ke-40 bagi tuduhan Kit Siang kononnya ‘bom jangka’ dikatakan meletus.

Penghinaan dilemparkan oleh veteran DAP itu juga senada de­ngan dakyah yang dilontarkan oleh seorang negarawan masa lalu. April lalu, Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) mengiktiraf Malaysia sebagai antara negara yang terbaik di dunia dalam pelan perancangan ekonomi.

Dalam laporan terbaharunya, Bank Dunia menyatakan Malaysia adalah satu daripada 13 negara yang dikenal pasti dalam Laporan Pertumbuhan oleh Suruhanjaya Pertumbuhan dan Pembangunan mencatatkan pertumbuhan purata lebih tujuh peratus setahun dalam tempoh 25 tahun.

Pengiktirafan itu menjadikan Malaysia setaraf dengan negara-negara dalam Pertubuhan Ker­jasama dan Pembangunan Eko­nomi (OECD).

Cerita Malaysia hendak bankrap ini kisah lama. Kalau diikutkan sangat fitnah dan dakyah pembangkang, Malaysia sudah pun bankrap pada akhir Oktober tahun lalu lagi. Yang hairannya, agak ramai pula yang mempercayainya. Padahal, ekonomi negara bahkan ekonomi dunia mempunyai kitaran naik turunnya.

Pada 1998, Malaysia mengalami krisis kewangan yang sangat dahsyat dengan pertumbuhan ekonomi negara di tahap negatif, banyak perniagaan gulung tikar, ringgit jatuh mendadak dan rak­yat hilang kerja.

Sepuluh tahun kemudian dunia kembali diasak krisis ekonomi yang juga telah mengakibatkan ekonomi negara menyusut. Sebagai menteri kewangan ketika itu, Najib telah mengambil langkah proaktif dalam merangka program perangsang ekonomi.

Alhamdulillah, pertumbuhan ekonomi melonjak semula pada kadar lebih 7 peratus pada tahun berikutnya.

Pada 2015, negara menghadapi satu lagi cabaran ekonomi dengan hasil pendapatan negara merosot lebih RM30 bilion akibat kejatuhan harga minyak.

Hakikatnya, ekonomi negara tetap berkembang pada kadar lebih 4 peratus pada separuh pertama tahun ini dan tidak pula tersungkur ke tahap negatif seperti 1998. Malangnya, ada kelompok telah menyebarkan fitnah mengatakan kemerosotan ekonomi negara disebabkan faktor politik semata-mata. Walhal, kerajaan sedia ada yang berjaya mempertahankan pertumbuhan ekonomi negara.

Pada Jumaat penghulu segala hari ini, rakyat diharap tidak mudah terpedaya dengan fitnah seperti. Kena saling ingat mengingatilah supaya menjauhi apatah lagi ‘tumpang semangkuk’ mengadu-domba, mentohmah dan memfitnah. Allah berfirman bahawa orang beriman mesti sentiasa menyemak fakta apabila datang orang fasik yang membawa sesuatu berita.

UM