Kerajaan negeri menyenaraikan  14 cerita kejayaan (success stories) yang melambangkan kehebatan dan semangat juang anak-anak Terengganu di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata antara senarai kejayaan itu, termasuk  Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu berjaya mengungguli Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan dengan penarafan lima bintang; Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu memenangi pingat emas sebanyak lima kali berturut-turut dalam International Convention On Quality Control Circles di Manila, Filipina.

Katanya, kejayaan lain, Pejabat Kesihatan Kemaman menjadi Johan Projek Inovasi dengan produk ResQ Med Trolley sempena Konvensyen Inovasi dan Kreativiti Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia 2017.

“Seterusnya, J3K Kampung Baru Kemasik menjadi Johan Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan 2017,” katanya.

Menurutnya, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong menjadi johan bagi Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan 2017.

“Kejayaan lain, Guru dari Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Terengganu, Saripah Embong, pula menerima Anugerah Guru Hebat Asia Tenggara dari Princess Maha Chakri Award Foundation 2017.

“Manakala, Terengganu International Endurance Park diiktiraf antara Lima Gelanggang Kuda Lasak Terbaik Dunia; Azizulhasni Awang, anak kelahiran Dungun, muncul Juara Dunia di Kejohanan Berbasikal Dunia 2017,” katanya.

Ahmad Razif memberitahu, kejayaan itu hanyalah sebahagian kecil daripada ratusan cerita-cerita kejayaan yang telah dirakamkan oleh rakyat Terengganu. – https://terengganu.news