Pertubuhan Alumni Kelab-Kelab Luar Negara UMNO tidak bersetuju dengan polisi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Pengerusi kelab tersebut, Wan Md. Haslin Agyl Wan Hassan berkata, keputusan KKM itu bukan sahaja tidak langsung mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara malah ia turut membantutkan usaha untuk membina bangsa Malaysia.

“Kita nampak polisi ini akan mendatangkan masalah yang lebih besar di peringkat nasional. Tak mustahil rakyat Malaysia tidak peduli lagi bahasa Melayu.

“Di manakah kita dalam membina bangsa Malaysia? Kita sedang fokus membina bangsa Malaysia, jika ini polisi KKM saya rasa ia tidak selaras dengan pembinaan bangsa Malaysia,” kata Wan Md. Haslin Agyl dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, KKM perlu menilai polisi semula polis tersebut dengan membentangkannya kepada Kabinet.

“Bila kita membiarkan segelintir graduan terlepas daripada mempunyai kelayakan berbahasa Melayu maksudnya kita bersetuju ada rakyat Malaysia tidak boleh berbahasa Melayu. Ini tidak sepatutnya berlaku.

“Tindakan KKM bukan sahaja melemahkan bahasa Melayu tetapi juga akan menimbukan rasa kurang yakin terutama golongan muda dan graduan luar negara kepada bahasa Melayu,” tegas beliau.

KKM sebelum ini mempertahankan keputusan melonggarkan syarat kelayakan lulus BM SPM bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kelonggaran itu adalah bagi memberi keadilan kepada graduan perubatan lantikan kontrak yang tidak menduduki peperiksaan BM semasa SPM.

Antaranya, katanya, adalah graduan perubatan yang belajar di luar negara, menduduki peperiksaan O-Level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Kebangsaan di universiti serta beberapa kategori lain.