SINIS… Adik perempuan Datuk Seri Azmin Ali menyindir abangnya yang konon sering melaungkan kata-kata mahu banteras rasuah, namun kini dikaitkan pula dengan gejala korupsi tersebut.

Ia susulan penahanan anak saudaranya berhubung kes perlombongan pasir. Menurut Ummi Hafilda Ali, beliau malah tidak akan bersubahat ke atas perkara yang mungkar sekalipun membabitkan nasib ahli keluarganya sendiri.

“Cakap berdegar-degar nak hapuskan rasuah tapi diri sendiri, keluarga dan kroni penuh tahi. Sebab itu saya menentang PKR dari dulu lagi hingga kini. Sebab saya tahu siapa ketua lanun mereka,” tulisnya di laman Facebook.

Pada masa sama, Ummi Hafilda mengesa Menteri Besar Selangor itu supaya mengingati pesanan allahyarham bapa mereka, Ali Omar yang cukup dihormati oleh masyarakat setempat daripada sebarang skandal atau kes salah laku.

“Arwah abah dah pesan. Ingat tak, apabila kita ditimpa bala dan musibah walaupun sebesar zarah terhiris jari dengan pisau atau berdarah terhantuk kaki. Cuba tanya pada diri, apakah dosa yang sudah buat???

“Jangan menuding jari salahkan orang lain. Itulah kifarah penghapus dosa,” kata Ummi Hafilda lagi sebagai merujuk isu penahanan Mohd Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid atau lebih dikenali sebagai Aboy pada Rabu lalu.

Baca: Anak Saudara Dicekup SPRM, Azwan Ali ‘Perli’ Azmin?

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anak saudara Azmin itu dan tiga lagi individu atas dakwaan terbabit dalam aktiviti perlombongan pasir dan batu secara haram di Selangor berjumlah lebih RM4 juta.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember untuk membantu siasatan dan kes berprofil tinggi itu disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (B) kerana memberi suapan berkait projek perlombongan pasir pada 2014 lalu.

Ia membabitkan kes perlombongan mineral tanpa lesen di Sungai Long, Kajang sehingga mengakibatkan anak sungai tertimbus serta tersekat dan dipercayai menjadi punca banyak kejadian banjir kilat setiap kali hujan lebat.

Azmin bagaimanapun seperti biasa tetap bertegas menafikan terbabit dalam penganugerahan tender kepada suspek yang dikatakan tidak bekerja tetap namun mampu hidup mewah ketika jutaan rakyat Selangor pula hidup melarat.

Skandal terbaharu itu turut mendapat perhatian seorang lagi adik beliau, Azwan Ali yang juga selebriti tempatan apabila menyindir teruk Azmin sambil mengucapkan tahniah kepada pihak SPRM. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA